Wednesday, January 16, 2008

Kesilapan2 Ketika Solat Bhg 2

Marilah kita perhatikan tiga buah hadis di bawah ini:

1. Sabda Rasulullah SAW: “Sembahyanglah kalian sebagaimana kalian melihat aku sembahyang.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Ahmad)

2. Dari Hudzaifah Radhiyallahu 'anhu, bahawa dia melihat seorang lelaki sembahyang yang tidak sempurna rukuk dan sujudnya. Setelah lelaki itu selesai sembahyang, Hudzaifah RA, berkata kepadanya: “Sebetulnya engkau tidak sembahyang. Kalau engkau mati (dengan mengerjakan sembahyang yang sedemikian rupa), maka engkau mati bukan di dalam agama Muhammad SAW.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

3. Dari Abdullah Ibn Qurath Radhiyallahu 'anhu, Rasulullah SAW bersabda: “Yang pertama sekali akan dihisab pada hari kiamat adalah sembahyang. Jika sembahyangnya sempurna, maka sempurnalah seluruh amalannya. Dan jika sembahyangnya buruk, maka buruklah amalan-amalannya yang lain.” (Hadis riwayat Imam Thabrani)

Hadis Pertama: “Sembahyanglah kalian sebagaimana kalian melihat aku sembahyang”. Macam mana kita hendak melihat cara Rasulullah SAW sembahyang? Caranya ialah dengan berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW yang sememangnya wajib kita ambil tahu. Kita ini namanya beragama Islam, akan tetapi kitab hadispun kita tidak pernah tengok, apatah lagi kita hendak memilikinya atau simpan di rumah untuk dijadikan rujukan. Na’uzubillah………Sebab itulah cara sembahyang kita jauh daripada tunjuk ajar Rasulullah SAW yang sebenarnya.

Maka dengan itu, termasuklah kita ke dalam golongan “Sebetulnya engkau tidak sembahyang. Kalau engkau mati (dengan mengerjakan sembahyang yang sedemikian rupa), maka engkau mati bukan di dalam agama Muhammad SAW.” Sebagaimana yang dimaksudkan dengan hadis yang kedua, golongan ini memang ramai di kalangan kita. Sembahyang tanpa memerhatikan “thuma’ninah”.

Sembahyang hendak cepat selesai. Sembahyang ekspres! Malah ramai di kalangan imam jemaah pun tidak memerhatikan “thuma’ninah” ini.

Maka dengan itu, buruklah segala amalan kita. “Yang pertama sekali akan dihisab pada hari kiamat adalah sembahyang. Jika sembahyangnya sempurna, maka sempurnalah seluruh amalannya. Dan jika sembahyangnya buruk, maka buruklah amalan-amalannya yang lain.” Na’uzubillah……………… Ini kerana kita mengerjakan sembahyang tanpa adanya ilmu yang sewajarnya.

Berikut merupakan beberapa contoh kesilapan yang seringkali dilakukan oleh mereka yang mengerjakan sembahyang:

1. SEMBAHYANG TANPA ILMU
Orang yang mengerjakan sembahyang tanpa ilmu tergolong dalam golongan orang yang tidak dapat dimaafkan kerana “kebodohan beragamanya”. Islam menitik-beratkan ilmu.

Ilmu itu wajib didahulukan atas amal, kerana ilmu merupakan petunjuk dan pemberi arah amal yang akan dilakukan. Imam Bukhari meletakkan satu bab tentang ilmu dalam Jami' Shahihnya, dengan judul "Ilmu itu Mendahului Perkataan dan Perbuatan." Para pemberi syarah atas kitab ini menjelaskan bahwa ilmu yang dimaksudkan dalam judul itu hendaklah menjadi syarat bagi keshahihan perkataan dan perbuatan seseorang.

Kedua hal itu tidak dianggap shahih kecuali dengan ilmu; sehingga ilmu itu didahulukan atas keduanya. Ilmulah yang membenarkan niat dan membetulkan perbuatan yang akan dilakukan. Mereka mengatakan: "Imam Bukhari ingin mengingatkan orang kepada persoalan ini, sehingga mereka tidak salah mengerti dengan pernyataan 'ilmu itu tidak bermanfaat kecuali disertai dengan amal yang pada gilirannya mereka meremehkan ilmu pengetahuan dan enggan mencarinya."

Rasulullah SAW pertama sekali memerintahkan umatnya untuk menguasai ilmu tauhid, baru kemudian memohonkan keampunan yang berupa amal perbuatan. Walaupun perintah di dalam ayat itu ditujukan kepada Rasulullah SAW, tetapi maksudnya juga mencakup seluruh umatnya.

Firman Allah: ".….. Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’ (yakni golongan orang-orang yang berilmu)…. ..." (Surah Fathir: ayat 28)

Ibarat orang yang berjalan di dalam gelap. Seorang membawa bekal sebuah lampu suluh. Manakala seorang lagi berjalan dalam kegelapan tanpa membawa bekal lampu suluh. Orang yang sembahyang dengan bekal ilmu yang ada padanya samalah seperti orang yang berjalan dalam gelap yang membawa bekal sebuah lampu suluh. Tentu orang ini akan sampai ke tempat tujuannya. Sebaliknya, orang yang sembahyang tanpa ilmu, dia diibaratkan seperti orang yang berjalan dalam gelap tanpa membawa bekal lampu suluh. Maka berjalanlah dia selama-lamanya dalam kegelapan itu! Sampai kiamatpun, dia tidak akan sampai ke tempat tujuannya. Begitulah juga dengan sembahyang anda!

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya hamba yang melakukan sembahyang yang diwajibkan kepadanya ada yang mendapat ganjaran sepersepuluhnya, ada yang mendapat sepersembilannya, ada yang mendapat seperdelapannya, ada yang mendapat sepertujuhnya, ada yang mendapat seperenamnya, ada yang mendapat seperlimanya, ada yang mendapat seperempatnya, ada yang mendapat sepertiganya, atau ada yang mendapat setengahnya.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Mubarak, Abu Dawud, dan Nasa'i)

Maka sembahyanglah dengan ilmu. Bukan sembahyang sekadar budaya atau Islam baka. Bagaimana hendak mencari ilmu tentang sembahyang. Kita jangan pula lupa. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW yakni surah Al Alaq. “Bacalah…bacalah atas nama Tuhanmu………..”

Dengan banyak membaca, kita akan dapat mencari dan menimba ilmu. Jika kita tidak faham akan isi kandungan yang kita baca, bertanyalah kepada mereka yang arif. Bacalah kitab hadis yang banyak menerangkan tatacara sembahyang yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Sebagai orang Islam, belilah dan simpanlah kitab hadis terutamanya kitab hadis Bukhari dan Muslim untuk kita jadikan rujukan kita. Bukan setakat hal ehwal sembahyang sahaja yang akan kita temui dalam kitab-kitab hadis ini, malah segala hal ehwal kehidupan dunia dan akhirat boleh kita jadikan rujukan dan panduan beragama kita.

2. MELAFAZKAN NIAT
Sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita, melafazkan niat sebelum memulakan sembahyang. Malah ada yang melafazkannya dengan kuat sehingga mengganggu jema’ah di sebelahnya. Ini bertentangan dengan amalan Rasulullah SAW. Tidak ada nas sama sekali yang menunjukkan Rasulullah SAW melafazkan niat ketika memulakan sembahyang. Niat tidak dilafazkan. Dan tidaklah disebutkan dari Rasulullah SAW dan tidak pula ada petunjuk dari salah seorang sahabat bahwa niat itu dilafazkan.

Niat bererti mensengajakan diri untuk sembahyang, menghambakan diri kepada Allah semata-mata, serta menguatkannya dalam hati.

Rasulullah SAW bersabda: "Semua amal tergantung pada niatnya dan setiap orang akan mendapat (balasan) sesuai dengan niatnya." (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain) (Rujuk kitab Al Irwa', hadis no. 22).

Abu Dawud bertanya kepada Imam Ahmad. Dia berkata, "Apakah orang sembahyang mengatakan sesuatu sebelum dia takbir?" Imam Ahmad menjawab, "Tidak." (Rujuk kitab Masaail al Imam Ahmad hal 31 dan kitab Majmuu' al Fataawaa XXII/28).

As Suyuthi berkata, "Yang termasuk perbuatan bid'ah adalah was-was (selalu ragu) sewaktu berniat sembahyang. Hal itu tidak pernah diperbuat oleh Rasulullah SAW mahupun para shahabat beliau. Mereka dulu tidak pernah melafazkan niat sembahyang sedikitpun selain hanya lafaz takbir."

Malah Imam Syafi'i juga berkata, "Was-was dalam niat sembahyang dan dalam thaharah termasuk kebodohan terhadap syariat atau membingungkan akal." (Rujuk kitab Al Amr bi al Itbaa' wa al Nahy 'an al Ibtidaa').

Maknanya, sesudah kita ambil wudhuk, kita mengadap ke arah kiblat. Lalu berniat dalam hati: “Sahaja aku sembahyang fardhu zohor empat raka’at tunai kerana Allah Taala.” (Sekadar contoh). Lalu kitapun bertakbir: Allahu Akbar.

Tidak perlulah kita melafazkan “Usholli fardhu……………….” sebagaimana yang diamalkan oleh kebanyakan kita kerana amalan melafazkan niat ini bertentangan dengan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ramai di kalangan kita, hanya tahu melafazkan niat tetapi tidak tahu pula makna yang dilafazkannya.

Ada yang mengatakan bahwa niat itu adalah salah satu rukun dari rukun-rukun sembahyang maka hendaklah dimulai ketika mengangkat tangan takbiratul ihram sampai pada kata akbar, sebab rukun suatu amalan hendaklah berada di dalam amalannya.
Yang benar, niat adalah syarat semua amalan, bukan rukun dalam setiap amalan.Contohnya ketika sembahyang. Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki yang rosak sembahyangnya: "Jika kamu bangkit hendak sembahyang, maka baguskanlah wudhukmu, kemudian mengadaplah ke arah kiblat lalu bertakbirlah, selanjutnya bacalah yang termudah bagimu dari Al-Qur’an." (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Hadis ini sangat jelas menunjukkan bahwa Rasulullah SAW memerintahkan untuk memulai sembahyang dengan perintah "bertakbirlah", bukan dengan “melafazkan niat” , dan tidak juga "bertakbirlah dan sertakan niat dalam takbirmu"

(Hal ini banyak dilakukan oleh masyarakat kita di Malaysia. Menyertakan niat ketika melafazkan takbir! Maka kerana itulah kita dapati ada orang yang takbiratul ihram berulang kali atas alasan niat tidak masuk sewaktu takbir). Na’uzubillah………….

Tidak ada suatu dalilpun daripada para sahabat yang mengatakan bahawa niat itu perlu dilafazkan. Ini kerana maksud kalimat “Jika kamu bangkit hendak sembahyang….” sudah menunjukkan suatu maksud keinginan untuk sembahyang. Itulah yang disebut niat.Kalaulah memang niat adalah rukun sembahyang yang memerlukan lafaz khusus, nescaya Rasulullah SAW mengajarkannya kepada para sahabat. Seperti halnya bacaan tahyat. Ibnu Mas'ud RA berkata: “Rasulullah SAW mengajarku tahyat dan tanganku berada di antara kedua tangan beliau, sebagaimana beliau mengajarku Surah Al-Qur'an.”

Sungguh sangat disayangkan adanya orang yang dihinggapi rasa was-was. Mereka terlihat seringkali dalam sembahyang mengulang-ulang takbiratul ihram, bahkan sampai imam telah rukuk pun ia belum selesai bertakbiratul ihram. Alasannya, kerana niat belum masuk ketika takbiratul ihram. Astaghfirullah…….

Munculnya pendapat bahwa sembahyang wajib melafazkan niat dengan lisan adalah dari kesalahan fahaman Abdullah bin Az-Zubairy dalam mentafsir ucapan Imam As-Syafi'i: “Jika seseorang berniat haji atau umrah maka sudah cukup, walaupun tidak dilafazkan. Berbeza dengan sembahyang, tidak sah kecuali dengan ucapan.” Abdullah Az-Zubairy mengatakan bahwa Imam As-Syafi'i mewajibkan lafaz niat ketika mahu memulakan sembahyang”.Imam An-Nawawi menuturkan: Para sahabat kami berkata: “Telah tersalah orang ini (Abdullah Az-Zubairy), bukanlah yang dimaksud Imam As-Syafi'i dengan ‘ucapan’ itu niat, tetapi yang dimaksudkan adalah takbir.”
Jadi, menisbatkan ‘Usholli’ kepada Imam As-Syafi'i itu tidaklah benar. Kalau memang ada ulama’ yang berpendapat seperti itu, maka seharusnya perkataan (sabda) dan amalan Rasulullah SAW wajib didahulukan, berbanding qaul para ulama’.

Dan inilah dalil yang shahih, akan tetapi ramai di kalangan kita tidak memerhatikan dalil ini dengan akal yang terbuka. Kita jadi tahsub semberono tanpa berpandukan kepada nas.
3. CARA ANGKAT TANGAN – TAKBIRATUL IHRAM
Macam-macam cara orang sembahyang mengangkat tangan - takbir. Ada yang angkat tangan sampai melepasi kepala. Ada orang angkat takbir ala kadarnya sahaja. Tidak mencontohi tatacara Rasulullah SAW mengangkat takbir.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar Radhiyallahu 'anhu , ia berkata: "Rasulullah SAW biasa mengangkat kedua tangannya setentang bahu jika hendak memulai sembahyang, setiap kali bertakbir untuk rukuk dan setiap kali bangkit dari rukuknya." (Hadis Muttafaqun 'alaih).

Atau mengangkat kedua tangannya setentang telinga berdasarkan hadis riwayat Malik bin Al-Huwairits Radhiyallahu 'anhu, ia berkata: "Rasulullah SAW biasa mengangkat kedua tangannya setentang telinga setiap kali bertakbir (di dalam sembahyang)." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Berdasarkan kedua-dua hadis ini, kita disunatkan mengangkat kedua-dua tangan ketika melakukan takbiratul ihram dengan mendedahkan tapak tangan tersebut serta menjarangkan sedikit jari-jarinya. Kedudukan kedua-dua tapak tangan itu sejajar dengan kedua bahunya serta jari-jarinya berada sejajar dengan telinga. Sunat ketika mengangkat tapak tangan itu sebaya dengan melafazkan takbir. (Rujuk kitab: I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/218-219) Demikian juga disunatkan menundukkan kepala sedikit dan melihat ke tempat sujud sebelum mengangkat takbir. (Rujuk kitab Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Furu‘ Tata‘allaq Bi At-Takbir: 2/234)

Disyaratkan juga kepada orang yang mengikut imam, mengakhirkan takbirnya sehingga imam sempurna melafazkan takbir. Jika takbir makmum tersebut mengiringi sebahagian takbir imam, maka dikira tidak sah sembahyang makmum itu sebagaimana menurut As-Syarqawi. (Rujuk kitab Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Syuruth Shihhah At-Takbirah Al-Ula: 2/229)
Wajib pula bagi orang yang mengerjakan sembahyang itu mendengar setiap huruf takbir yang dilafazkannya ketika mengangkat tabiratul ihram tersebut. Sebagaimana dengan rukun qauli yang lainnya seperti membaca surah Al-Fatihah, tahyat dan salam. Hukum wajib mendengar itu adalah bagi orang yang baik pendengarannya. Sementara orang yang tidak baik pendengarannya seperti tuli atau disebabkan ada halangan untuk mendengar seperti riuh rendah tempat itu, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan tetapi wajib dia melafazkan takbir itu dengan suara yang tinggi atau nyaring dengan kadar apa yang dapat didengarnya jika dalam keadaan dia boleh mendengar. (Rujuk kitab I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/217-218)

Ataupun dilafazkan dengan kalimah "Allahul Akbar" (ditambah huruf "alif" dan "lam" pada kalimah Akbar
Tidak sah melafazkan takbir itu seperti contoh-contoh berikut:
i. Mendahulukan kalimah "Akbar" daripada lafzul Jalalah "Allah " ataupun
ii. Menukar kalimah "Akbar" kepada kalimah "Kabir" kerana ia menghilangkan makna mengagungkan.
Tidak sah melafazkan takbir dengan menambah huruf pada ucapan takbir itu yang boleh menukar maknanya seperti berikut:
· Memanjangkan huruf hamzah pada lafzul Jalalah atau pada kalimah "Akbar" . Ini kerana menukar maknanya kepada pertanyaan (istifham).
· Memanjangkan huruf "ba" pada kalimah akbar maka menjadilah ia sebagai jama‘ kepada kabar yang bererti gendang yang satu muka.
· Menambah huruf "wau" sebelum lafzul Jalalah
· Menurut Ibnu Hajar, menambah huruf "wau" sakinah (bertanda mati) di antara dua kalimah takbir, seperti kerana ia menjadikan jama‘ pada kalimah lah (لاه) yang bererti berkilauan, atau menambah huruf "wau" mutaharrikah (yang berbaris) seperti
· Menambah mad huruf "alif" di antara huruf "lam" dan "ha" dalam lafzul Jalalah sehingga melebihi had yang tidak dianjurkan oleh ahli qurra’. Menurut Ibnu Hajar, kadar had panjang mad huruf "alif" di atas itu adalah sebanyak tujuh alif dan setiap satu alif pula mempunyai dua harkat.
(Malah ada di kalangan kita melafazkan takbir dengan “AllaWu-Akbar” dan bukannya “Allahu-Akbar”. Hal ini banyak berlaku di kalangan mu’azin, baik ketika azan dan iqamah.)
Dalam melafazkan takbir itu, tidak mengapa jika berhenti sekejap di antara dua kalimah takbir dengan kadar mengambil nafas. Manakala menurut Al-Azdra‘ie, tidak mengapa jika melebihi kadar berhenti itu daripada kadar mengambil nafas seperti orang yang gagap. Demikian juga, tidak mengapa jika disebut dalam takbir itu dengan membunyikan huruf "ra" yang berbaris depan . (Rujuk kitab I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/215-216)


Walau bagaimanapun sunat huruf "ra" dalam kalimah "Akbar" itu dibunyikan dengan tanda mati. (Rujuk kitab Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Furu‘ Tata‘allaq Bi At-Takbir: 2/234)

Kesilapan2 Ketika Solat Bhg 1

MUKADDIMAH

Segala puji hanya milik Allah Subhanahuwa Ta’ala (SWT) semata-mata, Rabbul ‘Alamin. Kepada-Nya, kita memohon hidayah-Nya, memohon segala keampunan, berlindung dari segala kesalahan dan keburukan diri. Barang siapa diberikan petunjuk oleh-Nya, dia tidak akan tersesat dan barang siapa yang tidak diberikan hidayah-Nya, dia termasuk dalam golongan yang rugi. Sesungguhnya, tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya. Selawat serta salam semoga tercurah atas junjungan besar Rasulullah Salallahu ‘Alaihiwassallam (SAW), serta keluarga baginda, para sahabat yang tercinta dan seluruh mukminin dan mukminat.

Sembahyang atau dikenali juga dengan perkataan “Solat”, adalah kewajipan kita yang mengaku diri sebagai orang Islam. Sembahyang merupakan tiang agama dan merupakan suatu tanggungjawab yang menentukan apakah seseorang itu Islam atau kafir. Jadi, orang yang meninggalkan sembahyang, ia adalah kafir, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Pemisah di antara kita dan mereka (orang kafir) adalah sembahyang. Barangsiapa meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya dia telah kafir." (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah).

Rasulullah SAW, sebelum wafat, meninggalkan wasiat: “Jagalah solat. Jagalah solat. Jagalah solat…………….”

Sayangnya kita umat Islam hari ini, tidak “menjaga solat” sebagaimana yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW. Kita mengerjakan sembahyang ala kadarnya sahaja. Seperti “melepaskan batuk di tangga”. Kita mengerjakan sembahyang, tetapi jiwa kita tidak pernah “menyentuh” makna sembahyang dengan sebenar-benarnya. Kita tidak “bertemu” dengan Allah. Kita tidak “bercakap-cakap” dengan Allah.

Sabda Rasulullah SAW: Ketika melaksanakan sembahyang, seorang hamba bercakap mesra dan akrab dengan Allah SWT. (Hadis Riwayat Imam Bukhari & Muslim).

Rasulullah SAW tahu bahawa di suatu ketika nanti, umatnya akan mensia-siakan sembahyang, umatnya tidal lagi ‘menjaga solat’. Dan ini boleh diperhatikan melalui sabda baginda SAW: “Akan datang satu masa atas manusia, di mana mereka mengerjakan sembahyang, yang sebenarnya mereka tidak mengerjakan sembahyang!” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kata ulama besar Imam Ahmad lagi, “Saya sangat khuatir bahawa zaman yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis ini adalah zaman kita sekarang ini”

Bayangkan zaman tersebut adalah di zaman Imam Ahmad iaitu di tahun 164H hingga 241H. “Sekiranya engkau sembahyang di dalam 100 buah masjid, engkau tidak akan melihat satu mesjidpun di mana manusia mengerjakan sembahyang dengan betul sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ketahuilah olehmu, sekiranya ada seorang yang benar tacara sembahyangnya, lalu dia melihat orang lain yang salah dan mensia-siakan sembahyangnya, lantas dia diam, tidak menegurnya atau memperbaiki akan kesalahan orang itu atau tidak menasihatinya, maka dia bersama-sama menanggung dosanya.


Jadi orang yang betul tatacara sembahyangnya tadi, samalah dengan orang yang melakukan kesalahan bila dia tidak menegur dan menasihati orang yang salah tadi,” kata Imam Ahmad.

Sabda Rasulullah SAW: "Ikatan Islam akan terlepas satu persatu. Dan setiap kali terlepas satu ikatan, maka manusia akan bergantung dengan ikatan berikutnya. Yang pertama akan terlepas ialah hukum-hukum Allah dan yang terakhir adalah sembahyang". (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim)

Dalam Al-Qur’an sendiri jelas diterangkan kepada kita melalui firman Allah SWT yang bermaksud: ”Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan sembahyang dan memperturutkan hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan?” (Surah Maryam: Ayat 59)

Inilah dilema besar yang saya hadapi. Di depan mata saya, bermacam-macam kesalahan dilakukan oleh orang yang mengerjakan sembahyang. Yang paling nyata, ramai di kalangan mereka sembahyang tanpa menitik beratkan thuma’ninah. Langsung tidak ada ketenangan ketika mereka mengerjakan sembahyang. Mereka sembahyang nak cepat selesai. Seperti melepaskan ‘beban’ yang terpaksa dipertanggung-jawabkan kepada mereka sebagai umat Islam. Waktu rukuk, rukuknya ala kadar sahaja. Waktu iktidal, belumpun benar-benar berdiri lurus, dah nak sujud. Waktu sujud, kepala terlalu menungging, dahi dan hidung tidak kena tempat sujud. Malah ada juga imam jema’ah yang termasuk dalam golongan ‘tidak menitik beratkan thuma’ninah’ ini.

Hal-hal ini berlaku di depan mata saya. Saya tidak mempunyai kekuatan untuk menegur mereka. Siapalah saya kalaupun saya mahu menegur mereka! Perfect sangatkah cara sembahyang saya? Akan tetapi, sekiranya saya tidak menegur mereka, saya tetap menanggung dosa kerana membiarkan kesalahan yang mereka lakukan.

Kita perlu meneliti semula, adakah sembahyang kita bertepatan dengan cara sembahyang yang diajarkan oleh Nabi kita Muhammad SAW. Ini kerana sembahyang yang dilakukan tidak mengikut tatacara sembahyang yang dilakukan baginda, pastinya sembahyang itu akan membawa kecelakaan pada diri sendiri. Ini kerana sembahyang yang dilakukan itu lebih menjauhkan kita dari Allah. Firman Allah: “Maka celakalah bagi orang-orang yang sembahyang (yaitu) orang-orang yang lalai daripada sembahyangnya.” (Surah Al-Ma’un ayat 4 – 5) Mengapakah demikian. Jawapannya sudah pastilah kerana sembahyang yang dilakukan tidak mengikuti apa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, baik dari rukuknya, sujudnya, khusyuknya dan segala perkara yang bersangkutan dengan sembahyang itu sendiri.

Dengan menyusun buku kecil yang tidak seberapa ini (dengan banyak kelemahan-kelemahan yang ada), saya memohon keampunan Allah kerana tidak menegur kesalahan-kesalahan yang berlaku di depan mata saya. Saya tidak mempunyai kekuatan menegur mereka secara langsung. Allah memberi hidayah-Nya berupa kekuatan kepada saya menyusun dan menulis buku kecil ini dengan ilmu yang serba kekurangan dalam diri saya.


Dengan buku kecil yang serba kurang inilah saya memohon semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya (kerana tidak menegur mereka yang melakukan kesilapan demi kesilapan ketika mereka mengerjakan sembahyang secara langsung). Semoga dengan buku kecil inilah saya menegur anda secara tidak langsung. Semoga dengan buku kecil inilah juga, ia akan memberi manafaat kepada kita semua.

Buku ini saya tulis dengan berdasarkan ilmu semata-mata – dengan merujuk Al-Qur’an dan al-Sunnah serta kitab-kitab para ulama’ besar sebagai panduan dalam menyusun buku ini. Islam adalah agama yang dibina di atas hujah dan dalil dengan bersumberkan Al-Qur’an dan al-Sunnah.

Jika sekiranya terdapat kesalahan dalam penyusunan buku ini, ia datangnya daripada kekhilafan diri saya semata-mata. Semoga Allah Subhanahuwa Ta’ala mengampuni kekhilafan dan kesilapan saya.



Salam tulus ikhlas dari saya,
Ruslan Mamat
No. 14, Jalan Damai Indah 5, Taman Damai Indah,
Cheras, 56000 Kuala Lumpur.