Wednesday, January 16, 2008

Kesilapan2 Ketika Solat Bhg 1

MUKADDIMAH

Segala puji hanya milik Allah Subhanahuwa Ta’ala (SWT) semata-mata, Rabbul ‘Alamin. Kepada-Nya, kita memohon hidayah-Nya, memohon segala keampunan, berlindung dari segala kesalahan dan keburukan diri. Barang siapa diberikan petunjuk oleh-Nya, dia tidak akan tersesat dan barang siapa yang tidak diberikan hidayah-Nya, dia termasuk dalam golongan yang rugi. Sesungguhnya, tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya. Selawat serta salam semoga tercurah atas junjungan besar Rasulullah Salallahu ‘Alaihiwassallam (SAW), serta keluarga baginda, para sahabat yang tercinta dan seluruh mukminin dan mukminat.

Sembahyang atau dikenali juga dengan perkataan “Solat”, adalah kewajipan kita yang mengaku diri sebagai orang Islam. Sembahyang merupakan tiang agama dan merupakan suatu tanggungjawab yang menentukan apakah seseorang itu Islam atau kafir. Jadi, orang yang meninggalkan sembahyang, ia adalah kafir, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Pemisah di antara kita dan mereka (orang kafir) adalah sembahyang. Barangsiapa meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya dia telah kafir." (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah).

Rasulullah SAW, sebelum wafat, meninggalkan wasiat: “Jagalah solat. Jagalah solat. Jagalah solat…………….”

Sayangnya kita umat Islam hari ini, tidak “menjaga solat” sebagaimana yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW. Kita mengerjakan sembahyang ala kadarnya sahaja. Seperti “melepaskan batuk di tangga”. Kita mengerjakan sembahyang, tetapi jiwa kita tidak pernah “menyentuh” makna sembahyang dengan sebenar-benarnya. Kita tidak “bertemu” dengan Allah. Kita tidak “bercakap-cakap” dengan Allah.

Sabda Rasulullah SAW: Ketika melaksanakan sembahyang, seorang hamba bercakap mesra dan akrab dengan Allah SWT. (Hadis Riwayat Imam Bukhari & Muslim).

Rasulullah SAW tahu bahawa di suatu ketika nanti, umatnya akan mensia-siakan sembahyang, umatnya tidal lagi ‘menjaga solat’. Dan ini boleh diperhatikan melalui sabda baginda SAW: “Akan datang satu masa atas manusia, di mana mereka mengerjakan sembahyang, yang sebenarnya mereka tidak mengerjakan sembahyang!” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kata ulama besar Imam Ahmad lagi, “Saya sangat khuatir bahawa zaman yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis ini adalah zaman kita sekarang ini”

Bayangkan zaman tersebut adalah di zaman Imam Ahmad iaitu di tahun 164H hingga 241H. “Sekiranya engkau sembahyang di dalam 100 buah masjid, engkau tidak akan melihat satu mesjidpun di mana manusia mengerjakan sembahyang dengan betul sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ketahuilah olehmu, sekiranya ada seorang yang benar tacara sembahyangnya, lalu dia melihat orang lain yang salah dan mensia-siakan sembahyangnya, lantas dia diam, tidak menegurnya atau memperbaiki akan kesalahan orang itu atau tidak menasihatinya, maka dia bersama-sama menanggung dosanya.


Jadi orang yang betul tatacara sembahyangnya tadi, samalah dengan orang yang melakukan kesalahan bila dia tidak menegur dan menasihati orang yang salah tadi,” kata Imam Ahmad.

Sabda Rasulullah SAW: "Ikatan Islam akan terlepas satu persatu. Dan setiap kali terlepas satu ikatan, maka manusia akan bergantung dengan ikatan berikutnya. Yang pertama akan terlepas ialah hukum-hukum Allah dan yang terakhir adalah sembahyang". (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim)

Dalam Al-Qur’an sendiri jelas diterangkan kepada kita melalui firman Allah SWT yang bermaksud: ”Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan sembahyang dan memperturutkan hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan?” (Surah Maryam: Ayat 59)

Inilah dilema besar yang saya hadapi. Di depan mata saya, bermacam-macam kesalahan dilakukan oleh orang yang mengerjakan sembahyang. Yang paling nyata, ramai di kalangan mereka sembahyang tanpa menitik beratkan thuma’ninah. Langsung tidak ada ketenangan ketika mereka mengerjakan sembahyang. Mereka sembahyang nak cepat selesai. Seperti melepaskan ‘beban’ yang terpaksa dipertanggung-jawabkan kepada mereka sebagai umat Islam. Waktu rukuk, rukuknya ala kadar sahaja. Waktu iktidal, belumpun benar-benar berdiri lurus, dah nak sujud. Waktu sujud, kepala terlalu menungging, dahi dan hidung tidak kena tempat sujud. Malah ada juga imam jema’ah yang termasuk dalam golongan ‘tidak menitik beratkan thuma’ninah’ ini.

Hal-hal ini berlaku di depan mata saya. Saya tidak mempunyai kekuatan untuk menegur mereka. Siapalah saya kalaupun saya mahu menegur mereka! Perfect sangatkah cara sembahyang saya? Akan tetapi, sekiranya saya tidak menegur mereka, saya tetap menanggung dosa kerana membiarkan kesalahan yang mereka lakukan.

Kita perlu meneliti semula, adakah sembahyang kita bertepatan dengan cara sembahyang yang diajarkan oleh Nabi kita Muhammad SAW. Ini kerana sembahyang yang dilakukan tidak mengikut tatacara sembahyang yang dilakukan baginda, pastinya sembahyang itu akan membawa kecelakaan pada diri sendiri. Ini kerana sembahyang yang dilakukan itu lebih menjauhkan kita dari Allah. Firman Allah: “Maka celakalah bagi orang-orang yang sembahyang (yaitu) orang-orang yang lalai daripada sembahyangnya.” (Surah Al-Ma’un ayat 4 – 5) Mengapakah demikian. Jawapannya sudah pastilah kerana sembahyang yang dilakukan tidak mengikuti apa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, baik dari rukuknya, sujudnya, khusyuknya dan segala perkara yang bersangkutan dengan sembahyang itu sendiri.

Dengan menyusun buku kecil yang tidak seberapa ini (dengan banyak kelemahan-kelemahan yang ada), saya memohon keampunan Allah kerana tidak menegur kesalahan-kesalahan yang berlaku di depan mata saya. Saya tidak mempunyai kekuatan menegur mereka secara langsung. Allah memberi hidayah-Nya berupa kekuatan kepada saya menyusun dan menulis buku kecil ini dengan ilmu yang serba kekurangan dalam diri saya.


Dengan buku kecil yang serba kurang inilah saya memohon semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya (kerana tidak menegur mereka yang melakukan kesilapan demi kesilapan ketika mereka mengerjakan sembahyang secara langsung). Semoga dengan buku kecil inilah saya menegur anda secara tidak langsung. Semoga dengan buku kecil inilah juga, ia akan memberi manafaat kepada kita semua.

Buku ini saya tulis dengan berdasarkan ilmu semata-mata – dengan merujuk Al-Qur’an dan al-Sunnah serta kitab-kitab para ulama’ besar sebagai panduan dalam menyusun buku ini. Islam adalah agama yang dibina di atas hujah dan dalil dengan bersumberkan Al-Qur’an dan al-Sunnah.

Jika sekiranya terdapat kesalahan dalam penyusunan buku ini, ia datangnya daripada kekhilafan diri saya semata-mata. Semoga Allah Subhanahuwa Ta’ala mengampuni kekhilafan dan kesilapan saya.



Salam tulus ikhlas dari saya,
Ruslan Mamat
No. 14, Jalan Damai Indah 5, Taman Damai Indah,
Cheras, 56000 Kuala Lumpur.

No comments: